TAZKIRAH


Hadith 40:10 - Makanlah dari rezeki yang halal


Hadith ini adalah hadith kesepuluh(10) dalam kitab hadith 40 syarahan imam nawawi. Kandungan hadith ini berkisar tentang makan dari sumber rezeki yang halal dan penyebab amalan dan doa tidak diterima. Semoga kita mendapat pengajaran daripadanya.

Terjemahan hadith


Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh). Dan Allah Ta'ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu). Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram? (Hadith riwayat al-lmam Muslim)

Kefahaman Hadith 40:10 - Makanlah dari rezeki yang halal


1) Suci Allah dari kekurangan/ keaiban/ tidak perlu rakan dan anak/ tidak zalim dan tidak tidur.
2) Diterima atau tidak amalan
- bergantung kepada pemakanannya halal/haram.
- sebab kepada diterima atau tidaknya doa/ibadah.
3) Sebab- sebab diperkenankan doa serta beberapa adabnya:
- perjalanan yang jauh - (hadith - tiga jenis doa yang diperkenankan , doa orang yg dizalimi, orang dalam musafir dan doa bapa terhadap anaknya) (sila rujuk di sini untuk panduan waktu mustajab doa)
- berpakaian lekeh (usang) - sebagaimana disunatkan dlm solat Istisqa’.
- mengangkat tangan ke langit - hadith nabi berkenaan dengannya.
- mengulang-ulang nama Allah - (3x) - sebagai tanda sangat berhajat.
- penjagaan makanan, minuman dan pakaian.

Pengajaran hadith


lslam menuntut umatnya menjaga diri dari semua aspek; kebersihan diri dan hati, keelokan berpakaian, kebersihan amalan perbuatan juga budi pekerti. Sesungguhnya Allah SWT itu baik. Dia hanya menerima perkara yang baik-baik sahaja.

Amalan, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan makanan seseorang mempunyai hubungan rapat dengan darjat kemuliaan diri dan peningkatan maqam hatinya. Oleh itu, seorang mukmin dituntut menjaga amalan, tingkah laku dan pakaian serta memakan hanya benda yang baik.

Makanan yang baik ialah makanan yang halal. lni tidak menafikan makanan yang berzat dan bervitamin, kerana Allah sifatkan makanan yang baik, bukan sekadar yang halal.

Makanan dan perbuatan yang haram menghalang pembersihan jiwa seseorang, sekaligus menghalang doa daripada dimakbulkan Allah.


Artikel: Hadith 40:10 - Makanlah dari rezeki yang halal


=============================================


  Hadis tentang makanan Rasulullah

Dari Aisyah r.ha. berkata, "Rasulullah s.a.w. selama hidupnya tidak pernah makan kenyang dengan tepung (roti) jagung dalam dua hari berturut-turut hingga beliau wafat." ( Hadis riwayat Tirmidzi ). 

Begitulah Rasulullah menjalani hidupnya dengan serba sederhana tetapi penuh berkah dan bahagia. Kita kata zaman ini hidup dihimpit inflasi, kos sara hidup tinggi, nilai wang menjadi kecil, harga barang mahal, tetapi cuba bandingkan cara hidup kita dengan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Kita banyak melayan nafsu makan dan hidup bermewah mewah! Rasanya sangat eloklah kita pilih kehidupan bersederhana. Sebuah hadis menyatakan (saya petik dari Kitab Fadhilah Sedekah), bahawa barangsiapa kekurangan makan dan minum di dunia ini, maka Allah s.w.t. akan membanggakannya di hadapan para malaikat dengan berfirman, "Lihatlah! Aku memberinya kekurangan makanan dan minuman, tetapi ia bersabar. Bersaksilah kamu bahawa Aku akan meninggikan derajatnya di syurga, sesuai dengan setiap suapan yang ia kurangi. " 


Suatu ketika Fatimah r.ha. membawa sekerat roti kepada Rasulullah s.a.w. Lalu beliau s.a.w. bertanya, "Apa itu?" Fatimah r. ha. menjawab, " Ya Rasulullah hari ini saya masak roti, dan saya tidak suka memakannya tanpa engkau ikut bersama kami." Rasulullah s.a.w. menjawab, "Dalam tiga hari, inilah makanan pertama yang masuk ke mulut ayahmu."
===================================================




Makan cara sihat ikut sunnah nabi

KITA berpantang dan mengawal tabiat makan apabila diserang penyakit. Lebih teruk jika doktor hanya membenarkan kita makan dalam kuantiti sedikit atau makanan tertentu.
Hakikatnya, amalan mengawal tabiat pemakanan selepas jatuh sakit adalah tindakan salah. Kita patut mengawal pemakanan seawal usia remaja, bukan apabila memasuki fasa 40-an.
Tabiat pemakanan yang boleh diteladani ialah mengikut sunah Rasulullah s.a.w. Jika dikaji, amalan pemakanan baginda amat bertepatan dengan al-Quran bermaksud: “… makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31).

Petua menjaga kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal.
Sebenarnya, menjaga dan mengawal perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit yang berkesan. Sebab itu ramai ilmuwan perubatan dan tabib zaman lampau sering bermadah ‘lapar itu ubat’.
Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan.
Makanan dalam jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai penyakit. Justeru, kaedah rawatan dan pencegahan penyakit yang terbaik sepatutnya bermula dari perut – pastikan kuantiti dan jenis makanan yang masuk ke perut terkawal.
Nabi Muhammad ada menyebut ‘perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’. Selain kuantiti makanan, petua kesihatan Nabi turut mengambil kira isi padu makanan.
Baginda lebih mengutamakan makanan lembut, terutama jika baru sembuh atau melalui proses pemulihan. Dalam satu hadis daripada Siti Aisyah r.a, beliau berkata: “Jika Rasulullah diberitahu si fulan sakit dan tidak ada nafsu makan, baginda bersabda: Berikanlah kepadanya ‘talbiinah’! Kata baginda lagi, Demi Allah, ia mencuci perut seseorang seperti kamu membersihkan mukamu daripada kotoran!”
Talbiinah ialah sejenis makanan masyarakat Arab menyerupai bubur atau susu. Ia lembut dan tidak membebankan perut. Bagi kita di sini, mungkin oat dicampur susu sesuai sebagai makanan yang lembut dan tidak membebankan perut serta fungsi pencernaan.
Makanan ini juga kaya serat dan banyak membantu proses penghadaman.
Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah biasanya mengelak makanan itu mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius.
Contoh peristiwa Nabi Muhammad s.a.w mengajar pemilihan makanan ketika sakit ialah sebagaimana hadis riwayat Ibnu Maajah dari Ummul Mundzir Qois al Anshoriyah, katanya:
“Suatu hari Rasulullah berkunjung ke rumah kami bersama Ali k.a yang ketika itu baru sembuh daripada sakit. Kami mempunyai buah daliah (sejenis buah-buahan di tanah suci), lalu Rasulullah mengambil dan memakannya dan Ali juga memakannya.
“Baginda berkata kepada Ali: Engkau baru saja sembuh daripada sakit.
“Lalu Ali berhenti memakannya. Kemudian saya buatkan masakan dari gandum dan saya berikan kepada mereka berdua, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ali, nah, ini lebih sesuai bagimu!”
Larangan Rasulullah kepada Ali yang baharu sembuh daripada sakit agar tidak memakan daliah sebagaimana dalam hadis di atas adalah kaedah pencegahan atau berpantang. Buah-buahan yang sifatnya mudah terurai mungkin memberi mudarat bagi mereka yang baru sembuh.
Ketika baru pulih daripada sakit, perut belum cukup kuat kerana ia sibuk bekerja menghakis sisa penyakit dari dalam perut dan badan.
Sebaliknya, Rasulullah menggalakkan Ali mengambil masakan daripada gandum kerana air daripada gandum itu dapat menguatkan tubuh.
Namun, baginda membenarkan pengambilan makanan yang tidak sesuai, tetapi dalam kuantiti sedikit sekadar menghilangkan keinginan.
Perkara menarik mengenai kaedah makanan seimbang yang diajarkan Rasulullah ialah baginda tidak membataskan pada satu jenis makanan saja. Contohnya, baginda menyeimbangkan makanan bersifat panas dengan sejuk.
Dari segi komposisi makanan, baginda tidak pernah mengambil susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu atau antara makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin serentak.
Baginda juga tidak mengambil dua jenis makanan yang mempunyai sifat cepat dicernakan dan lambat dicernakan, serentak.
Rasulullah tidak mengambil makanan yang masih dalam keadaan panas atau makanan yang disimpan semalaman, makanan awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan kesihatan.
Kita juga patut mengelak mengambil makanan segera dan minuman berkarbonat, walaupun sedap, tetapi memudaratkan apatah lagi mengandungi perasa tiruan dan sintetik.
Rasulullah gemar makanan yang mengandungi unsur manis semula jadi dan madu malah baginda suka mengambil buah-buahan sebagai makanan tambahan.
Mengenai madu, Nabi mempunyai disiplin pengambilan madu yang baik untuk dicontohi, iaitu mengambilnya pada waktu pagi sebelum sarapan.
Madu dicampurkan dengan air dingin sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem pencernaan.
Selain jenis dan kuantiti makanan, satu aspek lain penjagaan kesihatan Rasulullah s.a.w ialah cara baginda duduk ketika makan, iaitu dalam posisi ‘mutawarikan’, iaitu meletakkan pinggul pada kedua-dua tumit dan menempatkan telapak kaki kiri di atas punggung kaki kanan.
Postur badan penting dalam menentukan kebaikan ketika pengambilan makanan. Contohnya, baginda melarang
makan sambil bersandar sebagaimana sabdanya bermaksud: “Saya tidak makan sambil bersandar.”
Baginda juga melarang minum sambil berdiri, kecuali jika dalam keadaan terpaksa. Baginda mempunyai disiplin khusus dari segi minuman.
Berdasarkan petunjuk Nabi s.a.w, makruh minum selepas melakukan olahraga atau sebaik selesai melakukan sesuatu kerja berat atau sebaik habis makan atau sebelum makan. Semua itu tidak baik untuk kesihatan. Sebaliknya, biarkan beberapa detik berlalu apabila selesai aktiviti berat atau makan, kemudian minum.
Rasulullah s.a.w mempunyai petua unik ketika minum. Dalam satu hadis dari Anas bin Malik bermaksud: “Rasulullah minum dengan tiga kali nafas. Baginda berkata: Hal itu lebih melegakan dan lebih menyihatkan.”
Maksud bernafas tiga kali ketika minum ialah dengan menjauhkan bekas atau cawan dari mulut, lalu bernafas atau seolah-olah menghisap air yang sedang diminum. Larangan bernafas di dalam gelas ketika minum ditemui dalam hadis bermaksud:
“Jika seseorang di antara kalian minum maka janganlah bernafas di dalam gelas minuman, tetapi hendaklah direnggangkannya dari bibir.”
Dan, pasti yang paling penting dan mungkin dilupakan kita apabila makan atau minum ialah membaca ‘basmalah’ (membaca Bismillah) dan mengucapkan ‘hamdalah’ (Alhamdulillah) apabila selesai. Ia banyak keberkatan dari segi kesihatan.
Rahsia besar Rasulullah s.a.w yang patut menjadi teladan ialah baginda tidak pernah mencela makanan yang tidak disukainya atau kurang enak. Ini terkandung di dalam hadis bermaksud:
“Anas berkata: Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika berselera dimakannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya.”
Justeru, semua orang tidak wajar menunggu hari tua atau berusia lewat 40-an untuk memulakan amalan pemakanan sihat. Mulakanlah sekarang!
Kepentingan menjaga pemakanan dapat difahami daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan at-Turmudzi dari Abdullah al-Ashory, Rasulullah saw bersabda bermaksud:
“Sesiapa dalam keadaan badan sihat, aman dalam penghidupan dan ia memiliki makanan sehari-hari yang cukup, maka seolah-olah dunia ini miliknya.”






No comments:

Post a Comment